Friday, 5 July 2013



Galakan Membaca - Tips untuk semua:
Dalam konteks kita di Malaysia, kesibukan seharian bekerja dicampur pula dengan kesesakan lalulintas membuatkan ramai ibubapa tidak dapat meluangkan masa yang berkualiti bersama anak-anak di rumah pada hari-hari bekerja.
Alangkah bagusnya jika setiap ibubapa diberi peluang (oleh ramai pihak samada organisasi kerja etc) menyeimbangkan waktu bekerja dan waktu bersama keluarga, bukan hanya pada hujung minggu, tetapi juga pada hari-hari bekerja. Keutamaan seharusnya ditumpukan pada pembangunan kekeluargaan, kerana berkualitinya sesebuah institusi itu bermula dari rumah.
Jika kajian di lakukan berkenaan purata masa yang berkualiti kita sebagai ibubapa meluangkan masa bersama anak-anak pada hari bekerja, dapatan kajian tersebut mungkin akan mengejutkan ramai pihak. Purata masa yang di maksudkan itu mungkin tidak sampai 30 minit setiap hari.
Bayangkan jika disebabkan oleh kesesakan lalulintas, ibubapa pulang lewat, kemudian menyiapkan anak-anak untuk makan, mandi, homework dan tidur - berapa banyak sangatkah masa yang betul-betul berkualiti untuk keluarga tersebut duduk bersembang berkenaan aktiviti seharian anak-anak?
Betul, kita semua letih, kita semua penat, tetapi perubahan yang kecil, insyaALLAH dapat memberikan manfaat yang besar untuk anak-anak kita. Ini mungkin satu cara yang boleh kita kongsikan bersama.

BAGAIMANA?
Menurut Jack Sallabank dari National Literacy Trust dan Child Development Psychologist Dr Jessica Horst dari University of Sussex, meluangkan hanya 10 minit setiap malam bersama anak-anak membaca buku sebelum waktu tidur sudah cukup untuk memberikan permulaan yang sangat baik dalam kehidupan anak-anak.
Dengan membaca untuk anak-anak, kita sebenarnya melakukan sesuatu yang mengagumkan bagi perkembangan mereka. Bertutur dan mendengar adalah asas kepada awal literasi, dan ini mempunyai kesan secara langsung pada kebolehan membaca dan menulis anak-anak. Kita tidak boleh mengharapkan mereka terus pandai membaca dan menulis, jika asasnya yakni bertutur dan mendengar tidak kita lakukan. (sila rujuk pada graf Tempoh Kritikal & Sensitif ya)
Selain itu, anak-anak yang membaca bersama ibu bapa mereka juga dapat memperluaskan kosa kata dan pengetahuan mereka. Ini sangat membantu mereka dalam perkembangan prestasi mereka di sekolah dan secara tidak langsung memberikan masa depan yang cerah buat mereka.
Kajian mendapati, jika anak-anak diberikan hanya 30 minit setiap hari untuk sesi membaca secara perseorangan, ini sudahpun memendekkan usia bacaan dari 2 tahun kepada 5 bulan.


Untuk menggalakkan anak-anak suka kepada buku, lakukan perkara-perkara berikut:

  • Tiada Gangguan (no distractions): Sediakan kawasan bacaan yang tidak diganggu oleh gangguan bunyi seperti televisyen dan radio.
  • Hubungkait (associations): Selain daripada hanya membaca teks yang ada dalam buku, cuba juga untuk kaitkan gambar yang ada dalam buku dengan pengalaman sebenar.
  • Pujian (praise): Elakkan dari mendesak anak-anak untuk menamakan/menyebut gambar yang ada dalam buku, sebaliknya, jika mereka cuba untuk meniru dan mengulangi apa yang anda sebutkan, berikan pujian dan ulangi perkataan tersebut, seolah-olah ianya datang dari mereka.
  • Bergilir-gilir (take turn): Bergilir-gilirlah antara ibu dan bapa - kerana setiap ibu dan bapa mempunyai pendekatan yang berbeza.
  • Biar sedikit tetapi berterusan (little and often): Elakkan pembacaan yang terlalu lama. Anak-anak kecil cepat merasa bosan, maka lebih baik sedikit-sedikit tetapi berterusan setiap hari.
  • Wujudkan buku yang digemari anak-anak (have favourites): Kebanyakan kita pastinya tidak dapat melupakan buku kegemaran sewaktu kita kecil. Wujudkan satu buku yang digemari anak-anak. Lakukan bacaan pengulangan (repetition) kerana ini akan meningkatkan pemahaman mereka dan juga bahasa yang mereka dengari.
  • Penambahbaikan (improvise): Bahan bacaan lain seperti di laman web ataupun komik juga harus digalakkan kerana ianya membantu mewujudkan pembacaan berkeyakinan tinggi. Ia juga semudah membacakan resepi sewaktu anda sedang menyediakan sesuatu hidangan. Kanak-kanak sangat suka membantu ibubapa lebih-lebih lagi apabila usaha mereka dihargai. Tanpa mereka sedari, mereka sebenarnya sedang berlatih membaca.

Percayalah, dari masa 10 minit ini, akan memberikan anda peluang untuk mengenali anak-anak dari perspektif yang berbeza.

Jom kita jadikan FAMILY TIME - 10 minit yang bermakna sebagai Masa Membaca yang Berkualiti!!


0 comments:

Post a Comment