Saturday 29 June 2013

Tempoh Kritikal & Sensitif 6 Tahun Pertama


Tempoh Kritikal/Sensitif ini adalah sangat penting dalam perkembangan awal kanak-kanak. Ya, seawal bayi yang berumur 1 hari.
Adalah sangat penting bagi kita dewasa, tidak kira samada kita adalah ibu, bapa ataupun pendidik, untuk dapat bersama-sama dalam mendidik dan membimbing anak-anak sebelum tempoh kritikal ini mencapai tahap menurun dan mendatar.

Saya ambil contoh, melihat pada gambarajah, Kemahiran Mendengar pada graf meningkat dari mula lahirnya bayi sehinggalah mencapai umur 3 tahun. Kemahiran ini berkait rapat dengan Awal Literasi (Emergent Literacy), juga berkait rapat dengan kebolehan bertutur. Untuk menggalakkan minat membaca, kita perlukan 4 perkara asas ini : Mendengar + Bertutur + Membaca + Menulis. Jadi, untuk kanak-kanak mencapai tahap boleh membaca dan menulis, kita dewasa haruslah memulakan dengan banyak berkomunikasi dengan kanak-kanak pada tempoh masa yang sangat kritikal ini.

Jika kita terlepas waktu kritikal ini, ia menjadi sangat sukar. Sukar dalam pelbagai faktor, antaranya, ia akan mengambil masa yang lama kerana perkembangan otak kita perlu menumpukan proses-proses yang ada pada perkara-perkara yang lain (mengikut tahap umur). Sebagai contoh, jika kita baru hendak menggalakkan komunikasi dengan anak-anak pada umur 4 tahun (graf sudah mula menurun), pada waktu yang sama, anak-anak ini di ajar membaca, maka ini akan memberikan satu tekanan buat Short Term Memory yang tidaklah sebesar mana. Tekanan ini akan membuatkan proses itu menjadi lembab. Kita pula sebagai ibubapa/guru mungkin boleh hilang sabar, mungkin akan memarahi anak tersebut. Tapi masalah yang asalnya tadi ialah, kita kurang berkomunikasi dengan anak-anak.

Setiap apa yang di bualkan sebenarnya di simpan di dalam kamus otak kita. Lebih-lebih lagi bagi Bayi yang belum boleh bercakap. Kita boleh lihat ya, ada kanak-kanak yang kurang bercakap (biasanya di sebabkan kurang komunikasi dari ibubapa atau penjaga) dan ada kanak-kanak yang sangat petah (biasanya di sebabkan ibubapa yang rajin berkomunikasi dengan mereka). Ini terbukti dengan beberapa pemerhatian yang saya lakukan. Saya ada kawan yang anaknya masih belum bercakap walaupun sudah mencapai umur 5 tahun. Kenapa? Sebab ibu dan bapanya memang sangat pendiam. Jika ada pun komunikasi, ia hanyalah 1 atau 2 perkataan. Dan kebanyakan darinya, adalah semata-mata arahan. Contoh: Minum Susu. Pergi Makan. Walhal, ini adalah contoh ayat yang patut di gunapakai pada tahap 8 bulan – 1 tahun 6 bulan – tahap di mana kanak-kanak sedang belajar bercakap.

Saya sebenarnya sudah lama mempersoalkan perkara ini. Alhamdullillah, melalui pengalaman belajar Cognitive Processes in Language Processing, dan melalui kajian, saya cuba untuk mencari jawapan kepada persoalan-persoalan yang timbul, sehinggalah berjumpa dengan fakta ini yang di kaji di Negara United Kingdom. Banyak lagi yang boleh di kupas melalui graf ini. InsyaALLAH, jika ada rezeki kita berjumpa, boleh saya kongsikan bersama anda semua.



0 comments:

Post a Comment